Jun 19, 2011

Cabaran Cerpen #1: Pensel Nan Sebatang

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, tersahut juga cabaran dari rakan penulis saya, Cik Azzah AR.

Cerpen ini ditulis ketika saya menanti waktu mesyuarat di rumah bermula pada tengah hari semalam. Saya baru sahaja selesai menaipnya di aplikasi Word 2003 menggunakan tulisan Times New Roman, langkau dua baris. Cukup-cukup lima halaman! Oh ya, judulnya Pensel Nan Sebatang ^_^

Jadi, mari baca dan kirimkan kritikan yang membina ya? Terima kasih banyak-banyak!

______________________________________________________________________


Pensel Nan Sebatang
Malam itu aku terpanggil untuk membongkar ‘peti khazanah’ lama yang sudah berhabuk di atas meja tulisku. Sebatang pensel pendek berwarna coklat cair aku keluarkan dari kotak khazanah  itu.
            Aku merenung pensel pendek itu sebelum memusing-musingkannya di hujung jari. Setelah sekian lama, pensel itu masih di situ tanpa ada sesiapa menggunakannya.
            ‘Ini hadiah kecil dari ayah dahulu. Rupa-rupanya ia masih di sini.’ Detak hatiku.
       “Setelah batangnya pendek begini dan setelah zaman riang menulis menggunakan pensel berlalu, beginikah hayatnya?” Aku berfikir.
            “Benarkah pensel mekanikal dan pen mendominasi hayat sebatang pensel yang sudah diasah berkali-kali begini?” Akalku terus menduga dan pensel itu aku pusing-pusingkan lagi.
***
Sepuluh tahun lalu.
“Kakak, mari lihat apa yang ayah belikan untuk kakak!” Panggil ibu pada suatu hari.
            Aku yang sedang mengadap televisyen segera berlari-lari ke ruang hadapan, mencari arah suara ibu sekejap tadi.
            “Ayah belikan apa?” Mulut kecilku lancar bertanya.
         Ibu tersenyum dengan ulahku dan ayah di sisinya ikut tersenyum. Kedua-duanya seperti sengaja menguji kesabaranku yang masih hijau ini.
            “Ayah beli apa, ibu?” Aku bertanya lagi sementelah hati melonjak-lonjak rasa ingin tahu.
            Ibu tersenyum lagi.
            “Ayah belikan apa untuk kakak?” Tanyaku lalu mengalihkan pandangan ke arah ayah yang masih tersenyum.
            “Sayang ayah dahulu.” Kata ayah sambil duduk di atas kedua-dua lututnya.
            Ayah mendepakan tangannya luas-luas bagi membuka ruang untukku berlari ke dalam pelukannya. Setelah mendakap tubuh ayah yang sasa, aku menghadiahkan sebuah kucupan ke pipinya yang kasar dan ayah membalasnya dengan mengucup dahiku penuh kasih.
            Tidak lama kemudian, ayah mencapai suatu bungkusan di belakang duduknya dan menghulurkan kepadaku. Mataku bersinar-sinar apabila bungkusan itu bertukar tangan.
            “Wah, panjangnya pensel ini!” Aku menjerit kesukaan.
            Ibu yang sejak tadi memerhati menegur, “Kakak, cakap apa dengan ayah?”
            “Terima kasih, ayah. Kakak sayang ayah!” Kataku pantas lalu mencium pipi ayah sekali lagi.
            Setelah memeluk ibu, aku berlari ke bilik bersama sebatang pensel yang panjang dan besar yang tergenggam kemas di tangan.
***
Pada suatu petang, aku gagal menemukan pensel kesayanganku itu di mana-mana. Setelah penat mencari, aku menghampiri ibu dengan wajah yang sudah mencuka.
            “Ibu, nampak pensel panjang kakak yang ayah belikan kelmarin?” Aku bertanya kepada ibu.
            “Kakak letak pensel itu di mana?” Tanya ibu kembali.
            Aku mendiamkan diri lalu berusaha meraih ingatan sendiri. Ibu membiarkan sahaja dan meneruskan kerja-kerjanya di dapur.
            “Rasanya, kakak tinggalkan di atas katil malam tadi.” Omelku lalu cepat-cepat berlari ke bilik.
            “Sudah jumpa!” Aku menjerit riang.
            Rupa-rupanya, pensel itu betul-betul terletak di sisi bantal tidurku. Disebabkan itu, hatiku tersenyum semula. Wajah yang tadinya masam sudah manis semula.
***
            Hari ini, cikgu memujiku di hadapan kelas. Katanya, huruf ‘a’ yang aku tulis adalah yang paling bulat bentuknya. Maka, aku tersengih sepanjang hari dan pensel kayu yang ayah hadiahkan aku pegang erat-erat hingga pulang.
”Ibu, hari ini cikgu kata tulisan kakak yang paling cantik!” Aku memberitahu ibu dengan girang.
Tangan ibu yang gebu-gebu itu meraup wajah kecilku dengan lembut dan aku tenang benar melihat senyuman di wajahnya itu.
“Kalau begitu, kakak terus berlatih menulis dengan pensel yang ayah beri itu. Nanti, bukan sahaja huruf ‘a’ tetapi semua huruf yang kakak tulis cantik-cantik dan bulat-bulat.” Kata ibu lagi dan aku terangguk-angguk penuh semangat.
Begitulah rutinku tiap-tiap hari sejak ayah menghadiahkan pensel kayu yang panjang dan besar itu. Asal sahaja ada waktu lapang, aku akan penuhkan buku-buku latihan menulis yang ibu beli dengan pelbagai huruf, tulisan dan lukisan. Apabila buku itu sudah penuh dengan contengan, aku minta ibu belikan yang baru pula. Pensel panjang itu terus diguna dan diasah berkali-kali.
***
“Ini hadiah untuk kakak. Belajar rajin-rajin ya?” Ujar ayah usai pulang dari pejabat pada suatu hari.
            Pantas, pensel di tangan ayah aku ambil dengan senyuman lebar. Sepantas itu juga, pensel kayu yang sudah tidak panjang lagi itu aku letak di atas meja di ruang tamu.
            “Wah, ini bukan pensel kayu! Pensel ini boleh tekan-tekan!” Aku menjerit riang sambil mengunjukkan pensel baru itu kepada ibu.
            Ayah tersenyum apabila aku mengucup pipinya sambil tangan sasanya mengusap-usap kepalaku penuh cinta.
            Semenjak itu, pensel mekanikal itu menjadi teman belajarku. Tinggallah pensel kayu itu di atas meja.
***
“Pensel kayu nan sebatang inilah yang ayah hadiahkan buatku dahulu.” Kataku perlahan.
            Spontan tanganku mencapai riben merah di hujung meja tulis itu. Pensel pendek itu aku ikatkan dengan riben. Kemudian, aku letakkan pensel itu kemas-kemas di atas meja.
            Sekarang, pensel kayu yang pendek itu sudah cantik! Biarlah ia sudah lama pun, yang penting pensel itu masih batang kayu yang meliliti sebatang karbon.
            “Tidak, pensel mekanikal dan pen tidak akan pernah mendominasi hayat sebatang pen kayu. Tiada sesiapa boleh menidakkan kenyataan bahawa setiap anak akan belajar menulis dengan pensel kayu yang begini. Ya, tiada dominasi atau manipulasi.” Aku berkata kepada diri sendiri.
            “Ya, yang ada hanya wajah-wajah bahagia anak-anak yang berusaha belajar setiap saat. Terima kasih ayah, untuk hadiah yang paling bernilai dan bermakna ini.”
            Aku tersenyum menutup tirai hari itu. Pensel kayu yang sudah dikeluarkan dari peti khazanah lama itu aku pandang lagi. Ada rasa yang singgah.
            “Esok, aku akan pulang ke rumah ayah.”

0 pembaca comel: