Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, saya berjaya mencabar diri lagi. Sekali lagi, saya menurut tema/genre yang telah dicadangkan oleh rakan penulis, Cik Azzah Abdul Rahman yang selalu gigih menulis dan berusaha.
Dengan genre air mata sebagai asas, maka terilhamlah karya yang berjudul HASRAT ini. Selamat mebaca, wahai teman-teman yang sentiasa dikasihi. Semoga bermanfaat.
***
Emak merenung ke luar tingkap dengan reaksi yang sukar dimengerti. Sesekali, jemarinya yang sudah kasar itu menyapu pipinya yang sejuk dihembus angin malam. Kata ayah, pipi emak yang merah-merah itulah yang membuat ayah tertambat. Malahan, aku sendiri senang melihat wajah emak yang selalu nampak tenang dan cantik itu.
Aku terleka di suatu sudut, memerhatikan tingkah emak yang selalu berusaha untuk tabah mendepani segala ujian Tuhan. Aku kagum kerana dia masih tersenyum walaupun pada saat matanya sudah berkaca mendengar sebarang berita yang tidak meriangkan hati.
Dalam kedukaan menerima hakikat bahawasanya rezeki ke tanah suci kali ini bukan untuknya, dia sedaya-upaya menghadiahkan kepada dirinya sesuatu. Malam itu, ulah emak seperti mengumpamakan kesejukan malam itu sebagai anugerah istimewa untuk dirinya. Ya, sudah lebih setengah jam emak berdiri di situ dengan mulut yang terkumat-kamit memuji kebesaran Tuhan. Sekejap-sekejap, ada senyuman menghiasi ulas bibirnya yang sudah pecah-pecah itu.
“Maafkan Along, kerana tidak dapat membantu emak kali ini.” Kataku perlahan sambil mengharap angin malam itu menyampaikannya kepada emak. Aku tersenyum dalam kehibaan.
***
Aku tahu, emak terlalu merindui Kaabah walaupun kakinya tidak pernah terjejak ke kota suci itu. Seperti kanak-kanak yang meronta-ronta mahukan patung Spongebob di dalam kotak mainan Chicky Meal, begitulah rontaan hati emak yang mahu ke sana bahkan rontaan hati emak lebih hebat. Namun, usia dan kematangan emak mematangkan penerimaannya. Kepayahan demi kepayahan yang ditelan sepanjang hayatnya membuatkan emak masih mampu tersenyum pada hari ini.
Siang tadi, aku sengaja pulang waktu rehat tengah hari bagi menemani emak sewaktu ayah ke masjid. Ada rasa yang menggugah sanubari ketika aku melihat emak menyambutku sambil menyapu wajahnya yang basah siang tadi. Aku kaget namun melihatkan siaran ulangan khutbah Jumaat dari Kota Mekah sedang ditayang di kaca televisyen, aku mengerti reaksi emak itu.
Apatah lagi, sekarang ini musim haji. Aku terpilu melihat tingkah emak yang tidak betah setiap kali laporan jemaah haji ke udara di kaca televisyen mahupun radio. Kalaupun sedang sibuk di dapur, emak akan menjengah juga ke ruang tamu semata-mata mahu mendengar perkembangan dari tanah suci itu. Aku terpilu sendiri di dalam hati.
***
“Emak dan ayah mahu menunaikan fardhu haji pada tahun ini, insya-Allah.” Luah emak pada awal Muharram lepas.
Aku menyambut lafaz emak itu dengan penuh rasa syukur. Akhirnya, hasrat emak dan ayah bakal tertunai dan kerinduan mereka bakal terlunas. Alhamdulillah.
Diam-diam, aku menyimpan hasrat yang sama. Paling tidak, aku mahu menghantar emak ke sana bersama-sama ayah sementara batang tubuh mereka masih kuat. Aku mahu membalas jasa keduanya.
Sebagai anak yang tahu diri, aku memaklumi wang gaji dan pencen emak dan ayah selalu tidak berbaki. Semuanya habis emak gunakan bagi memastikan kami tujuh beradik cukup makan dan pakai. Belanja rumah ini bukannya kecil, apalagi kami tinggal di ibu kota.
“Ya Allah, Kau mudahkanlah urusan emak dan ayah bagi menunaikan fardhu haji. Semoga hasrat mereka menjejaki tanah suci itu tercapai.” Itu doaku tiap-tiap hari.
***
“Pendaftaran haji tahun ini sudah penuh. Wang simpanan emak dan ayah juga belum cukup untuk membayar deposit tempahan.” Kata emak saat Ramadhan sudah hampir.
Aku terdiam. Luluh hatiku melihat genangan air mata di mata tua emak. Wajah ayah yang memang sudah kelat sejak awal tidak sanggup aku perhatikan.
“Mungkin belum rezeki kami. Ilmu di dada ini juga masih cetek berbanding rakan-rakan lain yang sudah mendapat tempat.” Kata ayah dan sejurus, ruang itu senyap.
Aku menundukkan wajah kerana tidak sanggup bertentang mata dengan emak dan melihat wajah ayah yang tidak riang. Aku maklum, mereka berdua memang berhasrat benar namun masing-masing berusaha menyabarkan hati.
“Bagaimana harus aku membantu kedua orang tuaku? Ya Allah, bukalah jalanMu. Panggillah mereka ke tanah suci itu Ya Rabb.” Tidak putus-putus doa itu aku lafaz di dalam hati.
***
Hidup kami sekeluarga tidak mewah material. Dari kecil, ayah mengajar kami supaya selalu merasa cukup dengan rezeki dan kehidupan yang sederhana.
Kata ayah, “Dugaan menjadi orang yang mewah harta itu lebih berat berbanding jadi orang susah kerana manusia itu pelupa dan hanya ingat Tuhan apabila didatangi musibah. Maka, ayah selalu bersyukur dengan keadaan sederhana begini.”
Aku tidak pernah memahami kata-kata ayah itu, tetapi sekarang aku mula mengerti. Benar, kalau ayah dan emak didik kami dengan kemewahan tentu kami tidak pandai berdikari. Tidak mustahil aku akan melepaskan tanggungjawab sebagai kakak sesudah memegang wang sendiri kalau ayah tidak mendidik kami supaya mengutamakan keluarga.
Memikirkan itu, aku rela menjalani hidup yang tidak mewah. Sekurang-kurangnya, keadaan yang kadang-kadang sesak selalu menyedarkan aku tentang kewujudan Tuhan. Mungkin itu yang membuat emak dan ayah tenang menelan sebuah hakikat sepahit itu.
Alhamdulillah. Terima kasih Tuhan.
***
Di sisi lain, aku bangga melihat emak dan ayah kaya dengan anak-anak dan kasih sayang. Biarlah tidak mewah material, kalau hidup mereka dikelilingi zuriat yang selalu mendoakan kesejahteraan hidup mereka. Aku selalu mengingatkan diri supaya tidak lupa berdoa walaupun ada masanya aku malas melafazkannya.
Ustaz kata, “Anak-anak yang soleh dan solehah itu adalah anugerah Allah yang paling bernilai.”
Aku diam merenung maksud kata-kata ustaz itu.
“Aku tidak mampu membantu meringankan beban emak dan ayah. Aku tidak mampu menghantar mereka ke kota Mekah bagi menunaikan fardhu haji. Solehahkah aku kalau begitu?”
Ada genang di tubir mata tetapi aku membiarkan.
“Ampunkan aku Ya Allah. Aku memohon kepada-Mu, lancarkanlah urusan emak dan ayah supaya laluan mereka ke rumah-Mu itu mendekat. Bukalah pintu rezeki-Mu luas-luas buat mereka Ya Allah. Ya Rahim, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka selalu mengasihani aku sewaktu aku kecil.”
Aku terus termenung ke hujung malam. Mata yang sudah layu enggan tertutup hatta fikiranku belum mahu bertenang. Wajah emak dan ayah yang bergilir-gilir bergentayangan di depan mata terus-terusan menambah resah.
“Bolehkah aku dan adik-adik menjadi harta emak dan ayah yang berharga itu?” Aku bertanya sendiri.
Sepi. Tiada jawapan terluah dari bibir mahupun hati.
Suara hati yang menyepi pantas menokok gusar yang belum reda sejak tadi. Batuk ayah yang bergema di ruang sebelah menambah lagi rasa bersalah.
***
Esoknya aku bertemu Angah, Uda, Itam dan Ateh di luar dan kami berbincang panjang. Keadaan emak dan ayah aku khabarkan kepada mereka berdua.
“Adik bakal tamat pengajian pada semester depan. Rasanya, ketika itu beban kewangan kita sudah lebih ringan.” Ujar Angah usai aku bercerita.
Uda, Itam dan Ateh mengangguk dengan wajah serius. Kata-kata Angah itu menerbitkan senyuman di hatiku. Aku tahu, Angah sengaja membiarkan aku membuka cadangan.
“Betul kata Angah. Kalau semuanya setuju, Along fikir kita boleh mula kumpulkan belanja dari sekarang. Insya-Allah, cukup sepuluh bulan jumlahnya dapat mencecah hampir 20 ribu ringgit kerana jumlah kita ramai. Itu kekuatan kita, maka kita harus bersama.” Kataku kemudiannya.
“Benar, keluarga itu perlukan kebersamaan.” Kata Angah jujur.
Uda mengangguk pantas sementara Itam dan Ateh tersenyum menyanggupi. Tanpa dapat ditahan, aku tersenyum bahagia. Terima kasih Ya Allah. Semoga kami menjadi harta emak dan ayah yang paling mahal itu.
0 pembaca comel:
Post a Comment