Aug 11, 2011

MENJADI YANG TERBAIK

Dengan nama Allah,
Assalamualaikum.

Hari ini, kita sudah melangkah ke hari kedua belas dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Alhamdulillah.

Sejak akhir-akhir ini, saya begitu gemar menonton rancangan-rancangan berilmu di TV Al-Hijrah. Rasa seronok apabila kebanyakan rancangan yang ditonton menghidangkan menu lazat buat santapan rohani. Yeay!

Antaranya, saya suka rancangan yang disiarkan pada lewat petang (menghampiri jam 7) yang diambil dari laman www.fattabiouni.com. Tazkirah itu banyak berkisarkan mengenai sunnah dan kehidupan Rasulullah. Kelmarin, topik yang dibawa adalah mengenai cara baginda makan. Kiranya, adab-adab di meja makanlah.

Cetakan skrin halaman (print screen) fattabiouni.com
Ini saya kongsikan inti peringatan itu:

i) Basuh tangan. 
(Ya, kita mendapat pahala apabila melakukannya. Selama ini kalau kita mencuci tangan kerana mahu menjaga kebersihan, apa kata kita ubah haluan hati kita dengan mengatakan, "Aku mencuci tangan sebelum makan kerana ini sunnah baginda Rasulullah s.a.w. yang sangat mencintai kebersihan)

ii) Duduk dengan selesa bagi menghormati rezeki dari Allah.
(Apa maksudnya ya? Selama ini memanglah aku duduk baik-baik ketika makan. Eh, jangan marah-marah. Baguslah kalau kalian sudah duduk cantik-cantik. Alhamdulillah! Bukan apa, ini bagi menjamin anda tidak gelojoh semasa makan. Mana tahu, ada yang mengejar masa lalu makan cepat-cepat. Nanti tersedak, siapa yang susah?)

iii) Baca doa atau basmalah sekurang-kurangnya (Bismillahirrahmanirrahim)

iv) Makan sehingga habis
Kalau anda makan beramai-ramai, ambillah lauk yang dekat terlebih dahulu lebih-lebih lagi kalau yang makan berkongsi talam. Ini dapat mengelakkan rasa tidak selesa di hati orang-orang yang berkongsi menu dengan kita itu.

Kemudian, dengan sabar baginda akan menjilat hujung jarinya. Sabda baginda s.a.w. "Kita tidak tahu di bahagian mana letaknya barakah di dalam makanan itu."
Maka, makanlah dengan sabar sehingga habis semuanya. =D

Seperkara lagi, pastikan kita makan sehingga pinggan itu licin. Baginda Rasulullah sentiasa memastikan makanan di dalam pinggannya dimakan sehingga habis. Dengan cara yang sama, kita harus mendidik anak-anak supaya tidak membiarkan makanan berlebihan di dalam pinggan yang tentunya bakal dibakul sampahkan. Mengikut cara yang diajarkan di dalam video itu, tanyakan kepada anak-anak (mengajar erti tanggungjawab)
- "Apa yang harus kita lakukan dengan lebihan makanan ini? Bagaimana kita dapat berdepan dengan hal ini di hadapan Allah nanti?"
- Tiada salahnya kalau kita bungkuskan bahagian yang lebih itu dan berikan kepada orang-orang yang memerlukannya :D


- Rasulullah paling suka makanan yang diperbuat daripada campuran roti dan daging. 
- Baginda s.a.w. sukakan makanan yang manis! =D
Ini berita baik buat penggemar aiskrim! Sabda Rasulullah: Aku menyukai makanan yang manis dan sejuk :D

Apa lagi ya?
- Cuka
Ada apa dengan cuka? Pernah berlaku, Rasulullah mendatangi sebuah rumah dan tuan rumah itu segan ketika mahu menghidangkan cuka kepada baginda. Kata baginda, "Sebaik-baik kuah itu adalah cuka." 

- Minyak
Baginda juga menyukai makanan yang berminyak terutamanya yang menggunakan minyak zaitun kerana minyak itu datangnya dari pohon yang berkat.

v) Ucapkan syukur / Alhamdulillah.
Mahu lebih baik, bacalah doa sesudah makan. 

vi) Basuh tangan.
Cuci bersih-bersih ya? Jangan lupa, niatkan mencuci tangan kerana mahu mengikut sunnah Rasulullah yang sukakan kebersihan! 

Ini sahaja yang dapat saya kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Oh ya, kalau ada yang tidak betul di mana-mana, mohon kalian menegur supaya kita boleh sama-sama membetulkannya.

Meminjam kata-kata guru saya, "Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul."

Jadi, ayuh betulkan kebiasaan kita supaya lebih betul dan memanfaatkan, bersempena Ramadhan ini. Semoga kebiasaan yang baru ini akan terus memberikan kebaikan kepada kita.

Tambahan:
1. Maaf kerana membincangkan soal makan-makan pada siang hari di bulan Ramadhan ini.
2. Video dari fattabiouni.com adalah video youtube dan dalam Bahasa Arab juga. Jadi, harus tonton TVAH yang sudah mempunyai terjemahan itu! 


0 pembaca comel: