Dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Semoga kita sentiasa berbahagia dalam rahmat Tuhan yang Maha Luas. Terima kasih Tuhan, untuk nikmat nyawa, jasad, udara, keluarga, dan macam-macam lagi yang tidak terucap dan terukur. Alhamdulillah.
Kenderaan awam, spesifiknya tren Komuter dan bas. Sejauh mana penggunaannya di Malaysia? Tiada data yang berjaya saya temukan, namun dipercayai pihak KTMB mensasarkan peratusan penggunaan komuter di Malaysia mencapai 25% pada 2015 (Sumber: Berita Komuter 2009, E-rentas).
Saya sebenarnya tidak mahu bercerita mengenai fakta penumpang mahupun jumlah tren dan perkhidmatan komuter yang masih di tahap tidak cekap (jumlah tren yang masih tidak mencukupi, kerosakan tren yang tiba-tiba, kelewatan dari jadual asal, tiada sistem pendingan hawa, dll).
Kita sebagai pengguna memaklumi bahawa sistem perkhidmatan pengangkutan awam di dalam negara kita masih di tahap yang tidak effisien. Mahu tidak mahu, kita harus menghadapinya sementara pihak berwajib mengambil tindakan memperbaiki sistem sedia ada.
Jujur, saya sudah menjadi pengguna setia komuter sejak Jun 2010. Setiap hari, saya menaiki tren komuter dari stesen Sungai Buloh ke UKM. Pelbagai masalah yang menunjukkan sistem pengangkutan ini belum beroperasi dengan baik sudah saya hadapi. Tren lewat bukan sekali dua, bahkan hampir setiap hari. Maka, apa tindakan kita bagi menghadapi sistem yang sesak ini? Mari kita berbicara soal sikap. Menyalahkan bukanlah tindakan yang bijak walaupun saya pernah bising-bising mengenai hal ini juga.
Jumlah penumpang yang sememangnya ramai dan tidak tertampung sekiranya jadual tren tergendala dan mengalami kelewatan. Setiap hari, saya melihat penumpang berasak sehingga berlaku pertengkaran mulut terutamanya di Wilayah Tengah, bermula dari Stesen Midvalley sehingga stesen Putra.
Memang tidak dapat dinafikan, setelah menunggu hampir satu jam dan kemudian melihat tren yang tiba sesak dengan manusia akan menyebabkan sesiapa jua naik darah! Namun, dari satu sisi saya melihat sebagai pengguna kita terpaksa beradaptasi dengan situasi ini.
Dalam situasi begini, apa yang boleh kita lakukan?
i) Pertama, kenalpasti waktu operasi tren dan pastikan kita menaikinya pada waktu yang tidak sesak melainkan terpaksa u_u
ii) Pastikan kita menunggu sehingga penumpang keluar dari gerabak sebelum menaiki tren. Ini akan memudahkan aliran keluar-masuk dan mengurangkan kadar sesak di pintu tren.
| Sumber: http://jalananterus.blogspot.com/2010/05/ktm-komuter-koc-khas-untuk-lelaki.html |
iii) Andai terpaksa meredah lautan manusia itu juga, paksa diri untuk tersenyum supaya aura positif membunuh nafsu marah yang sedang menyala. Dalam kes begini, saya sentiasa pastikan saya memasang lagu Senyum nyanyian Raihan =)
iii) Jika sudah berada di dalam tren (yang SESAK dan PADAT) lihatlah ke luar yang dipenuhi pemandangan dan bukannya menghala ke arah wajah-wajah yang memasang muka kecewa kerana tidak dapat menaiki tren (mengekalkan aura positif).
iv) Jika ada kanak-kanak di dalam tren, carilah kelibat mereka dan lihatlah telatahnya yang sudah tentu akan menerbitkan senyuman di hati dan bibir. Kalaupun tidak nampak, cukuplah jika dapat mendengar suara kanak-kanak itu berbual dengan penjaganya. ^__^
v) Lain-lain, kita boleh juga melakukan apa-apa aktiviti yang membuatkan skita melupakan situasi tren yang sesak. Kalau saya, saya akan membaca. Jika tidak, saya akan mendengar muzik dan memejam mata rapat-rapat. Tidur pun, okey juga :)
vi) Lagi, masuklah ke dalam gerabak sedalam mungkin (kalau boleh sehingga ke hujung gerabak) supaya rakan-rakan yang berebut di pintu boleh masuk juga. Kalaupun mahu turun di stesen berhampiran, berilah ruang supaya rakan lain boleh ke ruang dalam.
Sebelum terlupa, setiap kali tren tiba ucaplah Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya, kita tahu perkhidmatan tidak tergendala pada hari dan waktu itu :)
Tips lain? Insya-Allah akan saya sambung pada masa hadapan.
Ekstra:
1. Jika sudah tiba di luar pintu tren yang sudah mahu bergerak, tekanlah butang pada pintu itu supaya pemandu boleh menghentikan tren dan membuka pintunya semula.
2. Jika kita melihat ada penumpang sedang berlari ke arah pintu tren yang sedang ditutup, tekanlah butang di tepi pintu supaya pemandu akan membukanya semula. Insya-Allah, ada orang lain yang akan melakukannya kepada kita sekiranya kita berada di dalam situasi yang sama.
3. Kalau ada penumpang lelaki tersalah masuk ke koc wanita, tunjukkanlah kepadanya bahawa dia boleh ke gerabak sebelah melalui pintu antara gerabak :)


0 pembaca comel:
Post a Comment