Dec 28, 2011

LAGI-LAGI PAKCIK TEKSI - HANTARAN



Akhir tahun, cuti sekolah. Biasalah, penuh dengan majlis perkahwinan sampai tak terlarat nak penuhi semuanya. Diucapkan berbanyak-banyak tahniah buat rakan-rakan yang bakal dan telah mendirikan rumahtangga. Mohon maaf jika saya tidak berkesempatan memeriahkan majlis kalian. Semoga berbahagia melayar sebuah bahtera bernama perkahwinan dalam lautan kehidupan yang penuh dugaan. Semoga ikatan yang terbina kekal hingga ke syurga. Amin.


Masih dengan hal kahwin. Di Malaysia, kalau kahwin mesti ramai yang terkenangkan soal hantaran. Sebagai bukti, biasanya kalau bertemu di kenduri kahwin mesti kita terdengar macam-macam soalan. Kalau bukan tanya mengenai pekerjaan pengantin dan perihal keluarganya, pasti soalan ini yang ditanya, "Berapa hantaran pengantin tu?"


Jujur, selalunya saya mengelak dari menjawab soalan-soalan ini. Bukan tidak mahu menjawab, tetapi ada rasa tidak selesa mahu menjawabnya. Jadi, saya hanya akan senyum dan berusaha alih topik perbualan.


Bercakap hal hantaran lagi, pagi tadi saya menaiki teksi ke UKM. Seperti selalu, saya berbual dengan pemandu teksi. Tanpa dipaksa-paksa, dia buka topik hantaran kahwin.  


Katanya, "Anak saudara saya baru kahwin hujung minggu lepas. Keluarga pihak perempuan minta hantaran RM28 ribu." 


Saya tersentak dan berkata, "Banyaknya!" (tak sanggup sambung ayat). 


Katanya lagi, "Memang banyak, tapi ayah dia sanggup bagi. Nak cakap apa. Kalau saya, takpelah saya cari yang lain." 

Sampai sekarang ini pun, saya masih terkejut mengenangkan jumlah hantaran yang banyak itu. Jumlahnya mencukupi untuk membeli sebidang tanah! Na'uzubillah, inikah yang dikatakan fenomena akhir zaman? Semoga kita tidak tergolong dalam kumpulan ini. 


Memberi hantaran adalah adat dalam perkahwinan masyarakat Melayu. Perkara yang wajib adalah mas kahwin namun di Kelantan, wang hantaran disebutkan sebagai mas kahwin (diakadkan dan menjadi hak si isteri). Tidak salah jika kita mahu mempertahankan adat tetapi benarkah yang dijunjung itu masih adat yang asli?

Sireh junjung umpamanya. Yakinkah kita gubahan sireh junjung itu masih bertepatan dengan maksud asal orang-orang tua kita menggubahnya dahulu? Cukupkah hiasannya (pinang, daun sireh, bunga cengkih, kapur, gambir, dll) atau kita sudah gantikan bunga hidup dengan yang plastik? Atau gubahan sireh itu lebih banyak bunga dari sirehnya?

Pernahkah kita kaji mengapa perlu ada hantaran? Adakah kita pernah fikirkan bahawa hantaran dari si gadis perlu lebih kemas dan penuh seni sebagai lambang kerajinan dan ketelitian si perawan? Atau sekarang semuanya dihantar ke kedai dan dibayar sahaja? Sama-samalah kita fikirkan. Tidak salah jika mampu tetapi ada baiknya kalau kita pulihkan semangat gotong-royong seperti suatu waktu dahulu. Insya-Allah, majlis akan terasa lebih meriah dan semua orang akan berasa penting.


Nota: Semoga wang hantaran saya nanti tidak sebanyak itu. Takut! Mahu bina rumahtangga dengan permulaan yang tidak melampau-lampau ^^_

0 pembaca comel: